Ipoh: Seorang wanita tempatan mengalami kerugian sebanyak RM350,100 selepas diperdaya oleh sindiket yang mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penyebaran pelaburan haram.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kejadian itu berlaku pada 12 Ogos apabila mangsa, yang berusia 37 tahun, dihubungi melalui nombor yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Mangsa diberitahu bahawa terdapat 44 aduan mengenai salah laku pengedaran atau penyebaran pelaburan haram yang dilakukan melalui nombor telefonnya. Pada masa yang sama, talian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek tersebut mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman bank bagi menyelesaikan urusan jenayah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LAGI BERITA :Tiga remaja ditahan disyaki sindiket dapatkan akaun bank keldai
Abang Zainal berkata, selepas kejadian tersebut, mangsa telah menyemak akaun peribadinya dan mendapati terdapat pindahan wang ke beberapa akaun yang tidak dikenali.
“Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis, dan hasil siasatan mendapati kerugian tersebut adalah daripada simpanan serta pinjaman wang yang dilakukan melalui bank,” katanya.
Beliau menambah, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali,” katanya.
Sumber : hmetro
Pingback: Sungai Laka dan Sungai Gurun melepasi tahap bahaya - Malay Star News