ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas kehilangan RM6,000 apabila rantai emas miliknya hilang setelah dipukau oleh seorang lelaki ketika menerima rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di daerah ini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa berusia 60 tahun itu ke klinik untuk mengambil ubat apabila didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional sekitar jam 8 pagi.
“Suspek pada mulanya menegur tentang rantai emas mangsa yang kelihatan longgar dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa untuk mengetatkannya. Walaupun mangsa menolak tawaran tersebut, suspek tetap mendekatinya sebelum beredar beberapa minit kemudian.
“Setelah selesai urusan di klinik, mangsa mendapati rantai leher emasnya hilang dan mensyaki bahawa rantai itu telah dibawa lari oleh suspek,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Baca juga : Suspek Kes Penculikan Albertine Leo Direman Tambahan 6 Hari
Siti Nor Salawati berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar pada jam 12.20 tengah hari setelah mendakwa dirinya telah diperdaya oleh individu tidak dikenali semasa berada di klinik kesihatan di daerah Kota Setar. Kejadian ini menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM6,000.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang giat mengesan suspek, yang dipercayai seorang lelaki berbangsa Cina, dengan ketinggian anggaran 5 kaki dan berusia sekitar 60-an.
“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : astroawani
Pingback: Lima Individu Ditahan Berhubung Kes Rasuah Kontrak Pembersihan Kapal Tangki - Malay Star News