Tren ETS tambahan sempena cuti sekolah, cuti peristiwa

Kuala Lumpur: Bagi menyambut cuti sekolah penggal kedua serta cuti peristiwa Hari Malaysia dan Maulidur Rasul, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan untuk laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa perkhidmatan tren tambahan ini akan bermula dari 13 hingga 22 September bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat semasa musim cuti, serta membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

Menurut kenyataan tersebut, KTMB juga akan menawarkan 630 tiket sehari yang akan mula dijual pada Jumaat ini (6 September) mulai pukul 10 pagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,300 tiket termasuk untuk koc kelas perniagaan.

“Jadual operasi tren ETS tambahan dari Padang Besar ke KL Sentral akan berlepas pada pukul 11.05 pagi dan tiba pada 4.30 petang. Manakala bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar, tren akan berlepas pada 5 petang dan tiba pada pukul 10.20 malam,” tambah kenyataan itu.

KTMB juga menasihati orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, App Store dan App Gallery atau laman sesawang rasmi KTMB.

BACA JUGA : SPRM tahan 32 individu termasuk doktor pakar di Pulau Pinang

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *