Tiga remaja ditahan disyaki sindiket dapatkan akaun bank keldai

Balik Pulau: Polis telah menahan tiga individu, termasuk seorang remaja perempuan, yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan yang menggunakan akaun bank keldai untuk aktiviti penipuan dalam talian, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, memaklumkan bahawa dua remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan di Bayan Lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

“Bertindak atas maklumat dan risikan yang diperoleh, pihak polis telah menyerbu sebuah premis dan menahan ketiga-tiga individu tersebut. Dalam serbuan itu, polis turut merampas 11 telefon bimbit pelbagai jenama, dua kad SIM, dan sekeping kad bank,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menambah, kesemua mereka kini direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tuduhan menipu.

LAGI BERITA : Vesel nelayan karam, operasi SAR disambung esok

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 58 tahun telah ditahan di Jalan Kuala Sungai Pinang semalam untuk membantu siasatan mengenai kes pukul dan ugutan jenayah yang melibatkan dua beranak.

Kamarul Rizal berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki, kejadian berlaku ketika dia dan ibunya berada di hadapan rumah mereka sebelum didatangi lelaki tersebut yang kemudian mengancam ibunya.

“Suspek bertindak menampar dan menumbuk mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian dada kiri, luka di tangan kanan, serta luka di bahagian bibir. Walau bagaimanapun, ibunya tidak dipukul,” katanya.

Beliau menambah, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *