Superlux Auto Terus Komited Menawarkan Motosikal Elektrik Mampu Milik Melalui Model Superlux EB1

Shah Alam: Superlux Auto terus berusaha untuk menjadikan motosikal elektrik lebih mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat melalui model terbarunya, Superlux EB1.

Ketua Pegawai Eksekutif Superlux, Fahmi Barakbah Mohamed Salleh, menyatakan bahawa pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit model EB1 menjelang penghujung tahun 2025. Beliau optimis dengan pertumbuhan permintaan motosikal elektrik yang semakin meningkat, terutamanya setelah kerajaan melanjutkan insentif MARii Cas dengan menawarkan subsidi RM2,400 untuk pembeli kenderaan elektrik (EV) sehingga tahun 2025.

“Langkah ini secara tidak langsung menggalakkan pembeli, terutama dalam kalangan golongan yang berkemampuan, untuk membeli Superlux EB1 pada harga serendah RM2,988 sahaja,” jelas Fahmi. Beliau juga menambah bahawa kesedaran awam mengenai kepentingan motosikal elektrik terhadap alam sekitar turut memberi kesan positif terhadap pembelian produk tersebut.

Superlux EB1 merupakan hasil inovasi anak tempatan yang tidak hanya mampu dibanggakan tetapi juga memenuhi piawaian dunia. “Kami memastikan aspek keselamatan dititikberatkan, terutamanya kerana teknologi ini masih baru di Malaysia,” katanya.

DISYORKAN : Kematian Wanita Warga Emas Akibat Ragut Motosikal di Bangsar: Suspek Sudah Ditangkap

Model EB1 ini mematuhi standard UNR136 yang digunakan di 58 negara di seluruh dunia untuk kenderaan. Motosikal ini direka khusus untuk kegunaan harian di bandar (mikrobiliti) dan di kawasan pedalaman, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis pengguna.

Fahmi turut menyatakan bahawa pihak Superlux yakin bahawa spesifikasi motosikal EB1 akan menarik minat pemilik motosikal tempatan. Walaupun masih jauh untuk menyaingi motosikal pembakaran dalaman (ICE), Superlux bangga menjadi antara pelopor industri permotoran elektrik tempatan.

Ciri unik Superlux EB1 termasuk bateri yang boleh ditanggalkan dan dipasang semula dengan mudah menggunakan plug tiga pin, memberi kemudahan kepada pemilik motosikal tersebut. Bateri litium 48V24Ah yang digunakan memberi kuasa 800 watt, membolehkan motosikal ini mencapai jarak sejauh 100 kilometer dengan kelajuan maksimum 55 kilometer sejam.

Superlux EB1 juga dilengkapi dengan transmisi automatik tiga kelajuan serta suspensi Steel Spring Shock untuk penyerap hentak yang lebih baik. Syarikat motosikal elektrik tempatan ini turut memperluas pasaran mereka dengan memasuki pasaran Sabah dan Sarawak bermula bulan ini.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *