KOTA BHARU: Sindiket dadah di Kelantan kini dikesan beroperasi di bawah kedok perniagaan untuk mengelakkan pengesanan oleh pihak polis.
Ketua sindiket bertindak sebagai penaja perniagaan dan hanya bergerak di belakang tabir sindiket tersebut dengan merancang pengedaran bekalan dadah kepada pelanggan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, keadaan ini menyebabkan pihaknya menghadapi kesukaran untuk menangkap sindiket bersama dadah yang terlibat.
Beliau menyatakan bahawa kebanyakan ketua sindiket hanya menggunakan transporter untuk menjalankan semua urusan, dan sebarang transaksi dadah juga dilakukan oleh pihak ketiga tanpa penglibatan langsung sindiket tersebut.
“Saya tidak mahu mengulas sama ada jumlahnya ramai atau tidak, tetapi modus operandi ini dikesan melalui tangkapan yang dilakukan sebelum ini dan ia melibatkan pelbagai jenis perniagaan. Aktiviti sebegini bukan sahaja berlaku di Kelantan, tetapi juga terdapat di negeri-negeri lain,” katanya.
Baca juga : SKMM Perlu Ambil Tindakan Terhadap Buli Siber yang Menyasar Atlet
“Bagi membanteras sindiket ini, kami turut memberi fokus kepada tangkapan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) yang melibatkan penagih dadah dan tokan kecil. Sasaran kami adalah untuk mencapai 150 tangkapan melalui LLPK tahun ini, dan setakat ini kami telah mencapai 60 peratus dari sasaran tersebut,” jelasnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Muhamad Zaki juga berkata, melalui tangkapan yang dilakukan, pihaknya dapat mengenal pasti ketua sindiket pengedaran tersebut.
“Kami juga memohon kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk maklumat daripada pimpinan masyarakat, untuk disalurkan kepada pihak polis bagi memudahkan tangkapan dilakukan.
“Kami yakin dengan operasi berterusan, kegiatan dadah ini dapat ditangani, dan kami akan memastikan Kelantan tidak lagi dikenali sebagai negeri transit dadah,” tambahnya.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, jumlah tangkapan berkaitan kes dadah tahun ini meningkat sebanyak 72.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Tahun lalu, seramai 10,264 tangkapan dilakukan, manakala 17,796 tangkapan dibuat dari Januari sehingga Julai tahun ini.
“Peningkatan tersebut adalah hasil tindakan terancang oleh pihak polis, selain mengambil kira faktor Kelantan yang berada di negeri bersempadan,” katanya.
Sumber : bharian
Pingback: Peringatan Mengenai Air Pasang Besar di Pantai Chenang dan Pantai Tengah, Langkawi - Malay Star News