Pelampung terlepas, wanita hilang dibawa arus sungai

Gerik: Seorang wanita dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras bersama ibunya ketika beriadah di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai, petang tadi.

Insiden berlaku kira-kira jam 2.30 petang, waktu keluarga ini sedang mandi sambil bermain pelampung di sungai tersebut.

Mangsa, Nur Arina Azizan, 20 tahun, dikatakan terpisah daripada keluarga lain apabila pelampung yang digunakannya dibawa arus deras.

Ibunya, 48 tahun, cuba menyelamatkan mangsa tetapi turut dihanyutkan arus. Bagaimanapun, ibu mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, namun Nur Arina masih belum ditemui dan dikhuatiri lemas.

DISYORKAN : Pelayaran 4 tahun untuk ‘elak’ hidup di bawah pentadbiran Trump

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Azizan Aziz, memaklumkan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.11 petang selepas menerima panggilan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan pencarian di permukaan sungai dan selaman di kawasan yang dipercayai tempat mangsa hilang,” katanya.

Beliau menambah, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Kerunai turut membantu dengan menggunakan sembilan kayak menyusuri sungai bersama pasukan lain yang mencari di tebing.

“Unit Anjing Pengesan juga sudah diaktifkan, dan Pasukan Penyelamat Di Air berada di lokasi,” katanya.

Operasi mencari dihentikan pada jam 7 malam dan akan diteruskan semula pada jam 8 pagi esok.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *