OPR dijangka kekal, ringgit diunjur 4.25 berbanding dolar AS pada akhir 2024

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang, berikutan tekanan inflasi yang semakin berkurang dan prospek ekonomi yang lebih positif.

Namun begitu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) menyatakan bahawa peralihan dasar fiskal serta risiko luaran seperti ketegangan geopolitik masih berpotensi mempengaruhi pendirian bank pusat tersebut.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Kenanga turut menyemak naik unjuran nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada 4.25 berbanding 4.42 sebelum ini. Peningkatan ini disokong oleh perbezaan hasil, pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), dan pemulihan ekonomi China.

“Seperti yang dijangkakan, pasaran telah melakukan pelarasan dan menerima hanya dua kali pengurangan sebanyak 25 mata peratusan tahun ini oleh Fed, susulan data tenaga kerja pada bulan September yang lebih kukuh daripada unjuran awal.

“Walaupun asas-asas domestik dijangka terus menyokong pengukuhan ringgit, kami tetap berhati-hati terhadap risiko luaran, terutamanya kemungkinan penurunan ekonomi AS yang mendadak, ketidaktentuan selepas pilihan raya presiden, serta ketegangan geopolitik,” kata kenyataan itu.

DISYORKAN : MTL dijangka lebih awal, masyarakat diminta siap siaga hadapi banjir

Sumber : hmetro

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *