SEOUL: Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mula mewajibkan individu yang menunjukkan gejala Mpox dan tiba dari lapan negara Afrika untuk melaporkan diri kepada pegawai. Di samping itu, Mpox kini diklasifikasikan semula sebagai penyakit berjangkit yang tertakluk kepada saringan di sempadan, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Langkah ini diambil selepas Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) minggu lalu berikrar untuk memperkukuhkan langkah pembendungan virus tersebut, susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak Mpox di Afrika sebagai kecemasan kesihatan global.
Baca juga : PM Minta Hentikan Permusuhan Politik, Fokus Cari Penyelesaian Demi Kesepakatan Rakyat
Mengikut langkah ini, individu yang tiba dari lapan negara – Rwanda, Burundi, Uganda, Ethiopia, Afrika Tengah, Kenya, Congo, dan Republik Demokratik Congo – diwajibkan melaporkan diri kepada pegawai jika mereka mengalami gejala yang berkaitan dengan Mpox, seperti demam, sakit otot, dan pembengkakan nodus limfa.
KDCA juga akan menempatkan pegawai kesihatan di pintu ketibaan bagi penerbangan langsung dari Ethiopia serta melaksanakan langkah pemantauan tambahan, seperti pemeriksaan air sisa dari pesawat.
Setakat 9 Ogos, Korea Selatan telah melaporkan 10 kes Mpox, menurun daripada 151 kes pada tahun 2023, menurut KDCA.
Sumber : bharian
Pingback: SKMM Perlu Ambil Tindakan Terhadap Buli Siber yang Menyasar Atlet - Malay Star News