Kuala Lumpur: Kerajaan digesa memperkenalkan dasar kawalan harga untuk mengawal kos rawatan di hospital swasta yang semakin naik, menurut Senator Datuk C Sivaraj.
Beliau mencadangkan Malaysia mencontohi pendekatan Singapura yang menggunakan skim nasional seperti MediShield Life untuk memastikan caj rawatan lebih terkawal.
Sebagai tambahan, beliau mencadangkan pelan insurans asas dengan harga mampu milik bagi membantu golongan M40 dan B40 yang terkesan akibat kenaikan premium insurans kesihatan.
“Pihak insurans wajar diberi galakan untuk menyediakan pelan asas dengan premium lebih rendah khas untuk golongan M40 dan B40. Kaedah ini sudah lama dilaksanakan di negara seperti Jerman dan Belanda,” jelasnya dalam kenyataan kepada media.
DISYORKAN : Tindakan TMJ balas ciapan wartawan tersohor tarik perhatian
Tingkatkan Insentif Doktor Pakar di Sektor Awam
Untuk mengelakkan penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta, Sivaraj menyarankan kerajaan meningkatkan gaji, menyediakan kemudahan lebih baik, serta menawarkan peluang kerjaya yang lebih menarik bagi doktor di sektor awam.
“Langkah ini penting untuk memastikan doktor pakar kekal di sektor awam supaya perkhidmatan berkualiti terus dapat dinikmati rakyat yang bergantung kepada hospital kerajaan,” tambahnya.
Skim Insurans Kesihatan Nasional untuk Semua
Sivaraj turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan skim insurans kesihatan nasional berdasarkan konsep risk pooling, seperti yang diamalkan di Singapura. Ini bertujuan memastikan setiap rakyat menerima perlindungan kesihatan asas yang mencukupi.
“Dengan adanya skim insurans kesihatan nasional, beban kos perubatan boleh diagihkan secara saksama, memberikan jaminan kesihatan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, langkah ini amat penting bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan negara dan mengelakkan kos perubatan daripada menjadi beban besar, khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.
“Kesihatan bukan barang dagangan, tetapi hak asas setiap manusia. Kita perlu bertindak segera untuk melindungi rakyat dan memastikan sistem kesihatan negara terus kukuh,” tegasnya.
Sumber : hmetro