Kuala Lumpur: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengkaji semula serta memperkukuhkan prosedur berkaitan latihan pasukan beruniform susulan kematian salah seorang pelajarnya pada 13 November lalu yang didakwa menjadi mangsa penderaan.
UiTM dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa pihak universiti memandang serius insiden tersebut.
“Universiti menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan.
“UiTM komited untuk memberikan kerjasama penuh dalam menyiasat kejadian ini, di samping memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajarnya sentiasa diberi keutamaan. Oleh itu, langkah proaktif telah diambil untuk mengkaji semula dan memperkukuhkan prosedur serta mekanisme pemantauan bagi aktiviti badan beruniform,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani latihan intensif yang tidak berjadual.
DISYORKAN : Pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa tidak jejas hubungan dagangan dengan AS PM
Bapa kepada pelatih tersebut mendakwa anaknya telah mengalami penderaan fizikal, termasuk dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan aksi-aksi seperti kuda yang ditunggang oleh jurulatih.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dilaporkan sedang menunggu laporan lengkap daripada universiti sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Sementara itu, UiTM menyatakan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap keluarga pelajar yang terlibat, sambil menzahirkan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
“Kami amat sedih dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.
Sumber : hmetro
Pingback: Bawa jenazah guna bot, laluan ke tanah perkuburan ditenggelami banjir - Malay Star News