KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan mencatat pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menyatakan bahawa pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam perbelanjaan isi rumah, pasaran kerja yang kukuh, serta sokongan dasar yang meluas.
Beliau menambah bahawa peningkatan perbelanjaan isi rumah dipengaruhi oleh musim perayaan dan cuti sekolah, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024, serta pengeluaran Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tambahan pula, Indeks Pengeluaran Perindustrian mengekalkan trend positif selama enam bulan berturut-turut, dan terdapat pertumbuhan ketara dalam perdagangan luar pada suku kedua 2024. Faktor lain seperti peningkatan jumlah pelancong, peningkatan pelaburan modal tetap, kemajuan projek berskala besar, dan permintaan yang semakin meningkat bagi pusat data turut memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia,” katanya pada majlis pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menjelaskan bahawa pertumbuhan pada separuh kedua tahun 2024 akan didorong oleh perbelanjaan domestik dengan sokongan permintaan luar yang kukuh.
Baca juga : Kematian Akibat Monsun di Asia Selatan Semakin Meningkat
Di dalam negara, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar. Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam.
“Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan, juga menjadi pendorong utama untuk aktiviti pelaburan.
“Dari segi luaran, peningkatan kitaran teknologi global dan permintaan yang kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik dijangka meningkatkan eksport. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat,” katanya.
Beliau menambah bahawa risiko pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat, serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat.
“Risiko prospek pertumbuhan Malaysia menjadi perlahan boleh berpunca daripada pengurangan permintaan luaran, konflik geopolitik yang semakin meruncing, dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Abdul Rasheed juga menyatakan bahawa inflasi dijangka berada dalam julat unjuran pada tahun 2024, dengan inflasi keseluruhan dan teras dijangka meningkat sedikit pada separuh kedua 2024 disebabkan oleh rasionalisasi subsidi diesel.
Walau bagaimanapun, katanya kesan daripada rasionalisasi tersebut kekal terurus berikutan langkah-langkah pengurangan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kos kepada perniagaan.
“Bagi baki tahun 2024, risiko inflasi yang lebih tinggi bergantung pada sejauh mana kesan limpahan daripada langkah-langkah dasar dalam negeri berhubung subsidi dan kawalan harga terhadap trend harga yang lebih meluas. Selain itu, risiko ini juga bergantung pada harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tahun 2024 diunjurkan berada dalam julat unjuran masing-masing sebanyak 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus,” tambahnya.
Sumber : bharian