Disyaki punca pencemaran air, ladang ayam diarah tutup

Port Dickson: Air longkang berwarna hitam, parit dipenuhi sampah yang berulat dan dipenuhi lalat. Itu keadaan sebuah ladang ternakan ayam berkeluasan 2.02 hektar di Bukit Pelandok di sini, yang disyaki menjadi punca pencemaran di laut berhampiran.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, berikutan itu satu pemeriksaan dan siasatan dijalankan pagi Selasa lalu selepas menerima aduan orang awam susulan pencemaran itu.

“Laporan polis sudah dibuat oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan juga Jabatan Alam Sekitar berkaitan isu ini.

“Kita juga sudah mengambil sampel air parit bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pemeriksaan, di sini pada petang tadi.

BACA JUGA : SPRM tahan 32 individu termasuk doktor pakar di Pulau Pinang

Menyentuh lanjut mengenai ladang ternakan ayam itu, Veerapan berkata, ia beroperasi dengan kapasiti 30,000 ayam sejak lebih kurang 20 tahun.

“Pihak ladang menggunakan air kolam untuk cucian lantai reban ayam yang dilakukan 70 hari sekali bagi kerja pembersihan, selain tiada water treatment plant di ladang itu.

“Selepas membersihkan tinja ayam, lantai dicuci dan air cucian akan melalui longkang. Air berkenaan kemudiannya mengalir ke dalam parit sebelum ke alur air berdekatan (sehingga menyebabkan pencemaran),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan ladang itu ditutup sementara dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan mengeluarkan notis supaya membuat pembersihan serta kompaun kepada pemilik ladang di kawasan Chuah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab sebelum tindakan seterusnya diambil.

Sumber : hmetro

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *