Buaya di Taman Tasik Seksyen 7 masuk perangkap

Shah Alam: Tidak sampai 24 jam selepas perangkap dipasang, seekor buaya di Taman Tasik Seksyen 7 berjaya ditangkap malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, berkata buaya tersebut dikesan berada dalam perangkap pada pukul 10.30 malam.

“Buaya yang berjaya diselamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter, berusia antara tiga hingga lima tahun, dengan anggaran berat sekitar 15 hingga 20 kilogram,” tambahnya.

BACA JUGA : Tren ETS tambahan sempena cuti sekolah, cuti peristiwa

“Saya percaya salah satu faktor yang membantu kami menyelamatkan buaya ini dengan cepat adalah kerana kami terlebih dahulu mengkaji perilaku hidupan liar ini,” katanya dalam sidang media di lokasi tangkapan buaya sebentar tadi.

Mengulas lebih lanjut, Wan Mohd Adib berkata tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik bermula malam tadi turut menyumbang kepada kejayaan menangkap buaya tersebut, kerana suasana yang sunyi tanpa gangguan memudahkan reptilia itu memasuki perangkap.

Katanya, Perhilitan juga akan meminta MBSA untuk terus menutup taman tasik tersebut pada waktu malam dalam tempoh sehari dua ini bagi membolehkan pihaknya melakukan pemantauan dan memastikan tiada buaya lain berada di kawasan berkenaan.

“Buaya ini akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands malam ini juga,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, turut hadir dalam operasi menyelamatkan buaya tersebut.

Sebelum ini, operasi mengangkat perangkap buaya bermula pada pukul 11.25 malam, dan kerja mengeluarkan buaya dari perangkap selesai sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah malam.

Kawasan sekitar Tasik Seksyen 7 telah ditutup sementara mulai pukul 8 malam untuk memberi laluan kepada operasi menangkap buaya yang dijalankan oleh Perhilitan Selangor. Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan mereka memaklumkan bahawa penutupan sementara itu adalah dari jam 8 malam sehingga reptilia tersebut ditangkap.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *