Bank Islam tawar bantuan untuk pelanggan terjejas banjir

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd telah melancarkan semula Program Prihatin Banjir untuk bantu pelanggan yang layak dan terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank tersebut memaklumkan bahawa pelanggan dengan pembiayaan rumah, peribadi, dan kenderaan boleh memohon untuk tangguh bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan, bergantung kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, Bank Islam juga memperkenalkan Kemudahan Bantuan Bencana khas untuk perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) yang terjejas di kawasan banjir yang telah dikenalpasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

DISYORKAN : Pemilik restoran rumah bot rugi RM800,000

“Melalui kemudahan ini, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk baik pulih atau menggantikan aset perniagaan seperti kilang dan mesin yang rosak akibat banjir, selain menyediakan modal kerja yang diperlukan,” kata bank tersebut.

Bank itu juga memaklumkan bahawa moratorium sehingga enam bulan turut ditawarkan kepada pelanggan PKS Bank Islam sedia ada yang terjejas di kawasan bencana seperti yang dikenal pasti oleh NADMA.

**”Bantuan kewangan ini terbuka kepada pelbagai kemudahan kredit dengan pembayaran secara berkala atau kontrak, termasuk pembiayaan berjangka, kredit berpusing, garis tunai, serta kemudahan perdagangan.

“Permohonan untuk bantuan ini boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Islam dalam tempoh tiga bulan selepas insiden berlaku,”** jelas kenyataan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata Bank Islam sentiasa memantau keadaan terkini di kawasan yang terjejas.

“Kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami harap Program Prihatin Banjir dan Kemudahan Bantuan Bencana untuk PKS ini dapat membantu meringankan beban kewangan pelanggan kami dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

Sumber : hmetro

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *