Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tetap dalam keadaan siap siaga menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir yang diramal berlaku antara 8 hingga 14 Disember ini.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus, menjelaskan bahawa persiapan telah pun dijalankan lebih awal melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, mesyuarat tersebut telah memastikan semua agensi berkaitan diberi taklimat untuk bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut 2024/2025, yang dijangka berlangsung hingga Mac tahun depan.
“Nadma masih memberi tumpuan kepada usaha menyelamat, pengurusan mangsa banjir, dan kerja-kerja selepas banjir supaya semua proses dapat berjalan lancar,” katanya.
DISYORKAN : Kerajaan disaran kawal harga rawatan di hospital swasta, perkenal insurans mampu milik
Pemantauan Cuaca dan Amaran Banjir
Khairul Shahril juga menyebut bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau keadaan cuaca bagi menganalisis intensiti hujan dan mengeluarkan amaran apabila data mencukupi telah disahkan.
MetMalaysia menjangkakan luruan monsun pada tempoh 8 hingga 14 Disember ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.
Kesedaran Orang Ramai
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keadaan cuaca di kawasan masing-masing sepanjang musim tengkujuh yang bermula sejak 5 November lalu dan dijangka berakhir pada Mac 2025.
“Orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir,” katanya.
Dr Mohd Hisham turut memaklumkan bahawa amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) telah dikeluarkan untuk kawasan timur dan utara Semenanjung bagi tempoh 8 hingga 11 Disember 2024.
“Berdasarkan model cuaca terkini, hujan kali ini dijangka tidak seteruk episod yang lepas kerana intensiti luruan monsun kali ini dijangka lebih lemah. Bagaimanapun, amaran akan terus dikemas kini berdasarkan analisis data cuaca yang dilakukan secara berkala,” tambahnya.
Sumber : hmetro