Kuala Lumpur: Tindakan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail (TMJ), membalas ciapan wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, di platform X (dulu dikenali sebagai Twitter) mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.
Dalam ciapan itu, TMJ hanya memberi emoji berjabat tangan sebagai balasan kepada ciapan Fabrizio, yang memetik kenyataan pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Fabrizio sebelum ini berkongsi komen Guardiola yang mempersoalkan tentang kemampuan mana-mana pasukan untuk mengekalkan konsistensi seperti pasukannya dalam tempoh sedekad.
“Pasukan mana dalam dunia yang boleh konsisten sepanjang 10 tahun? Tak ada, tak kira dalam NBA, tenis, golf atau mana-mana sukan lain. Apa yang kami capai selama 10 tahun ni, konsisten seperti ini, maaf, anda takkan jumpa,” kata Guardiola seperti yang disiarkan oleh Fabrizio.
Namun, maksud sebenar emoji berjabat tangan yang dikongsi TMJ hanya diketahui oleh beliau.
DISYORKAN : Warga emas didakwa cabul 4 wanita dalam penerbangan SIA
JDT: Kuasa Dominasi Bola Sepak Tempatan
JDT terus mengukuhkan statusnya sebagai pasukan terhebat di arena bola sepak Malaysia, dengan hanya selangkah lagi untuk mencipta rekod baru sebagai pasukan yang mendominasi semua pertandingan domestik.
Musim ini saja, JDT sudah mengumpul lima trofi termasuk Piala Sumbangsih dan Piala FA di peringkat pasukan utama. Mereka juga berjaya memenangi Piala Presiden, Piala Belia, serta Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).
Tiga trofi lagi dijangka menjadi milik mereka, iaitu Liga Super, Piala Malaysia, dan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pasukan utama JDT kini hampir pasti menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, dengan kelebihan 11 mata di depan pasukan kedua, Selangor FC, selepas 14 perlawanan.
Tidak ketinggalan, pasukan pembangunan mereka, JDTII, juga menunjukkan prestasi hebat dengan mendahului saingan Piala MFL, lima mata di atas pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) yang berada di tempat kedua.
Jelas sekali, JDT bukan sahaja sebuah pasukan, tetapi simbol konsistensi dan kecemerlangan dalam bola sepak Malaysia.
Sumber : hmetro