Lelaki samun kedai serbaneka, larikan nasi, sandwic dan wang tunai ditahan

Subang Jaya: Dua lelaki yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Subang Jaya dengan mengambil nasi, sandwic, dan wang tunai sebanyak RM241 akhirnya dicekup polis dalam masa kurang daripada 24 jam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku pada pukul 1.50 tengah hari, di mana seorang pekerja lelaki berusia 29 tahun telah didatangi dua suspek. Salah seorang daripada mereka masuk ke kaunter dan memaksa mangsa menyerahkan wang jualan.

DISYORKAN : Pemilik restoran rumah bot rugi RM800,000

“Disebabkan takut, mangsa menyerahkan RM241 wang tunai kepada suspek. Mereka juga mengambil beg silang mangsa yang ada dokumen peribadi, kunci kedai, kunci motosikal yang disimpan di bawah meja kaunter, dua bungkus nasi, dan dua bungkus sandwic. Akibatnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM260,” katanya.

Menurut Wan Azlan, selepas insiden tersebut, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya bertindak pantas dan berjaya menangkap kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 24 tahun di rumah mereka di Subang Jaya, antara jam 8.45 malam hingga 9.30 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah serta berkaitan dadah. Mereka kini direman selama lima hari, bermula hari ini sehingga 4 Disember, untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Polis menyeru orang awam yang ada maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi, di nombor 011-29395178.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *