Seoul: Hyundai Motor Co telah mengumumkan rancangan untuk melabur hampir AS$480 juta di Malaysia dalam tempoh lima tahun bermula 2025 bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di rantau Asia Tenggara, menurut laporan Agensi Berita Yonhap.
Pengeluar automotif dari Korea Selatan itu akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, Inokom Corporation Sdn Bhd, untuk menaik taraf kilang pemasangan complete knockdown (CKD) yang kini menghasilkan model lama kenderaan utiliti lasak (SUV) Santa Fe.
DISYORKAN : Bawa jenazah guna bot, laluan ke tanah perkuburan ditenggelami banjir
Kilang CKD yang dinaik taraf tersebut dijangka memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan minivan Staria pada pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan pengeluaran kepada model SUV bersaiz sederhana hingga besar.
Hyundai memaklumkan kapasiti pengeluaran akan bermula pada 20,000 unit setahun, dengan perancangan untuk pengembangan secara berperingkat. Kenderaan yang dihasilkan di kilang tersebut dirancang untuk pasaran tempatan dan juga dieksport ke negara-negara Asia Tenggara.
Selain itu, Hyundai turut menyatakan komitmennya dalam menyokong pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, termasuk memperluaskan jualan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan, serta menubuhkan kemudahan pengeluaran bateri.
“Keputusan pelaburan ini dibuat berdasarkan kepentingan strategik pasaran Asia Tenggara, terutamanya Malaysia. Kami juga berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial di rantau ini melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan bakat tempatan,” menurut kenyataan Hyundai.
Sumber : hmetro
Pingback: Pemilik restoran rumah bot rugi RM800,000 - Malay Star News