Kuching: Bangkai paus yang terperangkap di tiang Jambatan Batang Lupar yang sedang dibina akan diambil oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Muzium Sarawak, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Nazari Haron berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh SFC mengenai operasi untuk mengambil bangkai paus itu.
“Betul, pihak SFC dah hubungi kami untuk minta bantuan anggota bomba bagi pastikan keselamatan petugas sepanjang operasi pemindahan bangkai paus tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DISYORKAN : JKDM Labuan rampas 15 kereta mewah
Nazari juga berkata, semalam, pasukan bomba telah pergi ke lokasi bangkai paus itu terperangkap dan telah mengikatnya untuk mengelak ia dihanyutkan apabila air sungai pasang nanti.
Bangkai paus yang dianggarkan sepanjang 10 meter itu mula ditemui oleh penduduk kampung berhampiran Pulau Seduku di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, pada hari Selasa yang lalu. Namun, penduduk membiarkan bangkai itu hanyut terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
Selepas penemuan itu, SFC meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengesan bangkai tersebut.
Menurut Nazari, sebaik sahaja bangkai paus itu ditemui, ia diikat pada tiang jambatan kerana keadaan sungai yang bergelora dan angin yang kuat menyukarkan usaha untuk mengambilnya.
Difahamkan, ini merupakan kali pertama bangkai mamalia ini ditemui di Sungai Batang Lupar yang terkenal dengan populasi buaya besar.
Sumber : hmetro
Pingback: Gudang peralatan elektronik musnah - Malay Star News