Kuantan: “Percaya dengan rezeki Allah SWT,” itulah prinsip Che Hanapi Che Hassan, 44, seorang pengawal keselamatan yang tabah menjaga enam anak yatim piatu, yang juga anak saudara dia sendiri.
Che Hanapi, seorang bapa kepada tiga orang anak dari Kampung Padang Rumbia, Pekan, berkata dia dan isterinya, Kamilah Yaakob, 48, menjalani kehidupan yang bahagia walaupun sederhana.
“Kalau ikutkan, pendapatan RM1,500 sebulan, tak termasuk kerja lebih masa, memang rasa macam tak cukup untuk kami sekeluarga. Tapi saya percaya dengan rezeki Allah SWT. Alhamdulillah, sejak kami mula jaga mereka pada tahun 2007, kehidupan kami tetap okay,” katanya.
“Dengan apa yang kami ada, saya dan isteri masih mampu pastikan mereka dapat pendidikan yang sepatutnya. Syukur sangat dengan ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi.
DISYORKAN : Ada pihak sengaja sunting video beri gambaran buruk kepada PM
Bermula Dengan Niat Murni
Che Hanapi kongsi, sejak awal perkahwinannya, dia dan isterinya sudah bersedia untuk ambil tanggungjawab menjaga enam anak yatim piatu itu supaya mereka dapat terus bersama sebagai keluarga.
Semuanya bermula selepas pasangan itu berkahwin pada Ogos 2007. Ketika itu, Kamilah sudah menjaga tiga orang anak saudaranya yang kehilangan ibu bapa. Kemudian pada tahun 2011, mereka ambil keputusan untuk menjaga tiga lagi anak saudara yang juga kematian ibu bapa, demi memastikan hubungan adik-beradik itu kekal erat.
“Tak ada apa yang lebih menggembirakan kami selain melihat mereka bahagia dan tetap bersama. Kalau ada orang lain yang ambil salah seorang daripada mereka, risau hubungan mereka akan jadi renggang,” katanya.
Kini Sudah Dewasa
Che Hanapi berkata, dia dan isterinya rasa bersyukur dapat menjaga mereka hingga dewasa. Daripada enam anak saudara itu, tiga masih tinggal bersama mereka, manakala yang lain sudah dewasa dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Alhamdulillah, sekarang seorang dah kahwin, dan kami dah ada seorang cucu. Dua lagi dah bekerja, seorang di Bentong, Pahang dan seorang lagi di Klang, Selangor,” tambahnya dengan rasa bangga.
“Walaupun cabaran besar, kami rasa bersyukur sebab dapat tengok mereka membesar dan berjaya. Semua ni adalah rezeki dari Allah SWT,” katanya mengakhiri perbualan.
Sumber : hmetro
Pingback: Pelayaran 4 tahun untuk ‘elak’ hidup di bawah pentadbiran Trump - Malay Star News