‘Saya tak sengaja’ – Lelaki cabul anak saudara

Muar: “Saya tak sengaja buat macam tu padanya,” kata seorang lelaki penganggur yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mencabul anak saudaranya di Segamat, minggu lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu mengaku salah selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut, yang juga bapa kepada tiga orang anak, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak saudaranya yang berumur 12 tahun di sebuah rumah di Segamat pada jam 7.40 malam, 21 Oktober lepas.

DISYORKAN : Kartel baja RM1.8 bilion: SPRM reman eksekutif pemasaran

Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 (Akta 792), yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh hadir tanpa peguam.

Selepas mendengar hujah dan rayuan dari kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk mengikuti sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman penjara serta dikenakan pengawasan polis selama setahun setelah dibebaskan, mengikut Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *