Iran pintas serangan udara Israel

Kuala Lumpur: Iran melaporkan bahawa serangan udara oleh Israel yang menyasarkan beberapa pusat ketenteraan di Tehran, wilayah barat Ilam, dan Khuzestan di barat daya negara itu berjaya dipintas, dengan hanya kerosakan kecil dilaporkan.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Pusat Kawalan Pertahanan Udara Iran dalam kenyataan mengatakan serangan udara Israel yang bermula selepas jam 2 pagi Sabtu itu telah berjaya ditangkis.

Pusat kawalan tersebut menyatakan bahawa serangan udara itu adalah sebahagian daripada tindakan agresif Israel yang semakin meningkat, namun hanya menyebabkan kerosakan terhad.

Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai agar bertenang, terus bersatu, dan merujuk maklumat daripada media kerajaan sahaja.

Pihak berkuasa juga menggesa rakyat agar tidak mempercayai khabar angin daripada media yang dianggap musuh.

DISYORKAN : 3 maut dua pesawat ringan bertembung

Pada awal Sabtu, Israel mengumumkan tenteranya melancarkan “serangan tepat” ke atas “sasaran ketenteraan” di Iran, dengan letupan kedengaran di Tehran, menurut laporan Agensi Anadolu.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel menyatakan serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan Iran telah selesai.

Sebelum itu, IRNA melaporkan bahawa bunyi yang menyerupai letupan didengari di beberapa kawasan, khususnya di barat Tehran, sekitar jam 2.15 pagi waktu tempatan.

Sistem antipeluru berpandu Iran diaktifkan semula di beberapa kawasan timur dan tengah dua setengah jam kemudian sebagai tindak balas terhadap serangan terbaru.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *