Amaran hujan lebat, ribut di Terengganu hingga Isnin

Kuala Terengganu: Hujan lebat dan ribut diramal berlaku pada waktu petang dan awal malam di Terengganu sehingga hari Isnin, disebabkan oleh ribut tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan menuju ke arah Vietnam.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria, berkata ramalan cuaca penting telah dikeluarkan semalam mengenai ribut tropika Trami yang menyebabkan kelajuan angin meningkat di rantau ini.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan kejadian garis badai yang mungkin membawa hujan lebat dan angin kencang, terutama pada petang dan awal malam sehingga ribut ini berakhir.

“Ia juga berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Sabah serta membentuk garis badai di kawasan Utara dan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh tersebut,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa ribut tropika Trami ini tidak berkaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) kerana monsun tersebut belum bermula.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlalu panik dengan ramalan cuaca yang tersebar di media sosial tanpa sumber yang sah, sebaliknya hanya merujuk ramalan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

DISYORKAN : Periksa premis berusia lebih 10 tahun, pastikan selamat

“Tidak salah untuk mengambilnya sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi pastikan merujuk kepada MetMalaysia untuk maklumat cuaca yang sahih.

“Orang ramai boleh mengikuti perkembangan dan amaran cuaca terkini dari laman web rasmi jabatan untuk info yang sahih,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin, berkata angin kencang yang melanda kawasan Hulu Terengganu telah menyebabkan kerosakan pada sebahagian siling di Plaza Tol Telemung yang runtuh sekitar jam 8.20 malam.

“Lebih 20 buah rumah di kawasan Chukai dan Kijal di daerah Kemaman turut mengalami kerosakan akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku petang semalam,” katanya.

Sumber : hmetro

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *