Wanita melecur, kotak fius terbakar

Kota Bharu: Seorang wanita melecur di bahagian muka dan tangan akibat percikan api daripada kotak fius yang tiba-tiba terbakar di Kampung Chempaka, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa, Sainuri Hassan, 44, dikatakan mendekati kotak fius tersebut untuk melihat keadaan selepas terlihat asap keluar secara tiba-tiba.

Anaknya, Nur Sorfina Zahra Syaiful Azwa, 15, berkata percikan api secara tiba-tiba disusuli dengan letupan telah terkena bahagian wajah dan tangan ibunya.

“Saya, ibu, dan adik lelaki segera keluar dari rumah dan memanggil jiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

DISYORKAN : Ahli perniagaan dakwa dilarikan sekumpulan individu, tuntut tebusan RM20 juta

Mangsa yang mengalami kecederaan melecur telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Asri Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.13 pagi.

“Kebakaran melibatkan ruang tamu sebanyak 30 peratus dan dipercayai berpunca daripada kotak fius yang terbakar.

“Seorang wanita mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan tangan, sementara jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber : hmetro

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *