KDN siasat aliran wang GISBH, jalin kerjasama Interpol di 18 negara

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendedahkan bahawa hasil kutipan harian daripada operasi perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) disalurkan ke dalam akaun individu yang memegang jawatan kepimpinan dalam syarikat tersebut, yang juga merupakan ahli lembaga pengarah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa GISBH memiliki pendapatan yang besar, dengan pelbagai kluster yang perlu memenuhi sasaran tertentu.

“Setiap kluster berperanan untuk mencapai jumlah kutipan harian, dan hasil kutipan tersebut perlu disalurkan ke dalam akaun individu yang memegang jawatan dalam lembaga pengarah syarikat tersebut,” katanya.

Tambah beliau, GISBH mempunyai beberapa zon operasi, termasuk zon Kuala Lumpur, zon tengah, zon utara, serta operasi di dalam dan luar negara. Setiap zon mempunyai sasaran kutipan sebanyak RM70,000 sebulan,” katanya ketika di Dewan Rakyat.

DISYORKAN : Mayat kanak-kanak ditemukan tidak sempurna dipercayai dibaham buaya

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sesi penggulungan menteri mengenai perkembangan dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung GISBH hari ini.

Saifuddin menjelaskan lanjut bahawa setiap pembelian aset yang dilakukan oleh GISBH adalah secara tunai, tanpa melibatkan sebarang pinjaman bank.

Oleh itu, pihak berkuasa kini sedang menyiasat sumber kewangan tersebut dan bagaimana ia digunakan.

Selain itu, pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan Interpol berkaitan operasi perniagaan GISBH di 18 negara.

Beliau juga menafikan tuduhan bahawa tindakan pihak berkuasa terhadap GISBH tidak mengikut prosedur undang-undang.

“Kalau dikatakan bahawa siasatan di sini tidak mengikuti undang-undang, tidak mungkin kita boleh mendapatkan kerjasama dari negara luar,” ujarnya.

Sumber : hmetro

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *