Jual minyak masak subsidi di media sosial, lelaki ditahan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki menerima akibat apabila menjual minyak masak pek bersubsidi dalam kuantiti besar dengan harga yang tidak munasabah di platform media sosial, selepas diserbu oleh pihak berkuasa dalam Ops Tiris, semalam.

Lelaki tersebut juga telah menggunakan sebuah rumah di Taman Hings, Jalan Kobusak, di sini, sebagai tempat penyimpanan minyak masak tersebut.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 7 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa daripada Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, hasil daripada maklumat orang awam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas, memaklumkan bahawa hasil risikan mendapati aktiviti penyimpanan dan penjualan minyak masak pek bersubsidi ini berlaku di lokasi tersebut.

DISYORKAN :  Tiga lelaki ditahan kerana kelakuan tak senonoh, lucah ketika acara larian

Susulan daripada itu, katanya, pegawai penguat kuasa telah melakukan penyamaran sebagai pembeli dan diarahkan oleh penjual untuk datang ke alamat yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

“Serbuan dilakukan serta-merta ketika transaksi jual beli sedang berlaku dan hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak pek satu kilogram bersubsidi daripada pelbagai jenama.

“Turut ditemui gula pasir kasar satu kilogram yang disimpan di kawasan kaki lima rumah serta di ruang dapur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan minyak masak pek bersubsidi pelbagai jenama dengan anggaran sebanyak 8,177 kilogram dan gula pasir kasar sebanyak 48 kilogram.

“Semua minyak masak pek bersubsidi dan gula pasir kasar itu telah disita untuk siasatan lanjut kerana penjaga premis gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan barangan bersubsidi tersebut di dalam rumah itu.

“Nilai keseluruhan sitaan adalah berjumlah RM20,579.30. Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun, yang merupakan penjaga premis, telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *