Detik cemas, rumah dimasuki hampir 12 orang penyamun berparang

Shah Alam: Sebuah keluarga mengalami kerugian sebanyak RM600,000 selepas rumah mereka di Pandamaran, Klang dimasuki oleh sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata dalam kejadian tersebut, seorang daripada tiga penghuni rumah, seorang lelaki berusia 37 tahun, cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun.

Beliau menjelaskan bahawa mangsa telah membuat laporan mengenai pecah masuk tersebut pada jam 6.16 pagi.

“Hasil siasatan mendapati, dalam kejadian yang berlaku pada jam 5 pagi itu, seramai 10 hingga 12 orang suspek yang dipercayai warga tempatan telah menaiki dua kenderaan, memanjat tembok pagar rumah banglo tiga tingkat sebelum masuk ke dalam rumah,” katanya.

DISYORKAN : Basmi kemiskinan: Kerajaan Madani pastikan bantuan sampai kepada golongan sasar – PM

“Kesemua suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan, dan bersenjatakan parang kemudian memasuki sebuah bilik, mengikat tiga penghuni rumah tersebut, dan menggeledah barangan yang ada.”

“Semasa kejadian, seorang penghuni berjaya menghubungi polis. Sebaik sahaja kereta peronda tiba di lokasi, semua suspek terus melarikan diri menggunakan dua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil semakan mendapati suspek berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang, dan barang kemas bernilai RM600,000.

“Dalam insiden ini, seorang penghuni berusia 37 tahun ditetak di bahu dan menerima jahitan di sebuah hospital swasta di Klang,” ujarnya.

Katanya lagi, susulan kejadian itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.

“Kini, pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini,” tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan, katanya.

Sumber : hmetro

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *