Kuala Lumpur: Selain daripada penyelenggaraan berkala, untuk mengurangkan frekuensi kerosakan pada lif dan eskalator di stesen komuter, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga melakukan penyelenggaraan pencegahan berdasarkan jangka hayat alat ganti.
Jurucakap KTMB berkata, penyelenggaraan semua kemudahan di bawah seliaan KTMB dijalankan mengikut jangka hayat penggunaan dan keperluan.
“Sebagai contoh, jika jangka hayat alat ganti seperti handrail untuk eskalator adalah tiga tahun, kami akan mengganti komponen tersebut sebelum mencapai tempoh tiga tahun.
“Walau bagaimanapun, kualiti barang gantian juga memainkan peranan penting dalam memastikan ia tidak mudah rosak walaupun sudah diganti,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.
BACA JUGA : Op Viral periksa kedai runcit di Kampung Segambut
Beliau mengulas tentang keluhan pengguna mengenai kemudahan di stesen KTM Komuter yang tidak memuaskan serta masalah ketepatan masa ketibaan tren.
Mengulas lebih lanjut, KTMB menjelaskan bahawa perkhidmatan penyelenggaraan lif dan eskalator diuruskan oleh dua entiti iaitu KTMB dan Railway Assets Corporation (RAC). KTMB mengendalikan operasi kereta api dan RAC adalah pemilik stesen serta rolling stock (kereta api).
Menurutnya, semua lif dan eskalator di stesen dari Tanjung Malim, Perak hingga Gemas, Negeri Sembilan berada di bawah penyelenggaraan RAC, manakala KTMB hanya menyelenggara lif dan eskalator di Stesen KL Sentral.
“Penyelenggaraan berkala untuk lif dan eskalator di bawah seliaan KTMB dijalankan mengikut garis panduan dan peraturan dari Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (JKKP).
“Kami melaksanakan penyelenggaraan sebulan sekali melalui kontraktor yang dilantik. Pemilihan kontraktor dilakukan mengikut ketetapan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).
“Apabila mana-mana lif atau eskalator di bawah seliaan KTMB tidak dapat digunakan atau rosak, kami akan mempamerkan notis mengenai jangkaan tarikh siap kerja pembaikan yang sedang dijalankan.
“Bagi pengguna yang memerlukan bantuan, terutama warga emas dan OKU, boleh mendapatkan pertolongan daripada kakitangan stesen yang bertugas,” kata kenyataan itu.
BACA JUGA :AS Sita Pesawat Presiden Venezuela
Sementara itu, berkenaan rungutan pengguna yang kecewa dengan kerapnya kelewatan tren, KTMB mengakui adanya gangguan dalam perkhidmatan tren, terutama komuter.
Namun, menurut KTMB, gangguan tersebut disebabkan oleh beberapa masalah teknikal seperti keupayaan tren yang sudah berusia, isu semboyan yang terdedah kepada kecurian kabel, serta situasi yang tidak dijangka seperti bencana alam seperti banjir, pokok tumbang, dan kerosakan pada alat talian atas.
“KTMB telah mengambil langkah proaktif dengan menebang dan membersihkan pokok besar berhampiran landasan. Ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian tripping akibat pokok tumbang yang boleh merosakkan alat talian atas.
“Jika berlaku kelewatan, pemakluman atau hebahan di stesen juga dipertingkatkan untuk memudahkan pengguna mencari alternatif sekiranya terdapat sebarang gangguan.
“KTMB juga sedang membangunkan dan memperbaiki sistem live tracking melalui aplikasi MyRailtime, di mana pengguna boleh memeriksa status perjalanan tren sama ada ia mengikut jadual atau mengalami kelewatan,” jelas kenyataan tersebut.
Sumber : hmetro
Pingback: Pemandu Proton Wira maut, nahas tiga kenderaan - Malay Star News