Washington: Amerika Syarikat (AS) telah merampas pesawat milik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, di Republik Dominika dengan alasan melanggar sekatan, lapor Xinhua yang memetik kenyataan Jabatan Kehakiman AS pada hari Isnin.
“Pagi ini, Jabatan Kehakiman telah menyita sebuah pesawat bernilai AS$13 juta yang didakwa dibeli secara haram melalui syarikat palsu dan diseludup keluar dari AS untuk kegunaan Nicolas Maduro dan sekutunya.
“Jabatan ini akan terus memburu mereka yang melanggar sekatan dan peraturan eksport serta menghalang mereka daripada menggunakan sumber AS untuk mengancam keselamatan negara,” kata Peguam Negara Merrick B Garland.
Baca juga : Netanyahu Tekad Untuk Mengekalkan Kehadiran Tentera Di Koridor Philadelphi
Pesawat jenis Dassault Falcon 900EX tersebut kemudiannya dipindahkan ke selatan Florida atas permintaan pihak AS. Insiden ini berlaku lebih sebulan selepas Maduro dipilih semula, meningkatkan ketegangan antara AS dan Venezuela.
Washington telah mengenakan sekatan ekonomi dan “pengasingan diplomatik” terhadap kerajaan Maduro sebagai sokongan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang di Venezuela. Perintah Eksekutif yang dikeluarkan pada Ogos 2019 melarang rakyat AS daripada berurusan dengan individu yang bertindak secara langsung atau tidak langsung bagi pihak Kerajaan Venezuela, menurut Jabatan Kehakiman.
Pada Mac 2020, Maduro dan pembantunya dituduh terlibat dalam “narco-terorisme”, dengan dakwaan berkomplot bersama FARC (Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia), menyebabkan penyeludupan kokain dalam jumlah besar ke AS.
Selain itu, Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sehingga AS$15 juta untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan atau sabitan terhadap Maduro.
Sumber : hmetro
Pingback: SPRM tahan 32 individu termasuk doktor pakar di Pulau Pinang - Malay Star News