New Delhi: Bandar Vadodara di Gujarat, India, baru-baru ini berhadapan dengan ancaman buaya akibat limpahan air Sungai Vishwamitri yang memasuki kawasan perumahan.
Kehadiran reptilia tersebut mengejutkan kerana beberapa buaya dilihat berhampiran rumah penduduk.
Menurut laporan Oddity Central, keadaan ini menyebabkan penduduk Vadodara perlu berhati-hati dengan kehadiran haiwan tersebut.
Baca juga : Kes Rasuah: Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kerajaan Antara Yang Ditahan
Video yang tular menunjukkan buaya tersebut berada di jalan dan di atas bumbung rumah. Satu lagi video tular menunjukkan sekumpulan buaya berenang di terusan, dengan salah seekor daripadanya sedang mengheret mangsa yang dibaham. Sungai Vishwamitri menjadi habitat kepada ratusan buaya air tawar.
The Hindu melaporkan bahawa antara 27 hingga 29 Ogos lalu, sebanyak 24 buaya telah ditangkap di Vadodara. Buaya terkecil yang diselamatkan berukuran 0.61 meter (m), manakala buaya terbesar sepanjang 4.3 m ditangkap pada hari Khamis di Kamnath Nagar, yang terletak sepanjang sungai tersebut.
“Penduduk tempatan melaporkan mengenai kehadiran buaya besar tersebut.
“Dua buaya lain sepanjang 3.35 m juga diselamatkan pada hari Khamis dari Bulatan EME dan kawasan lapang berhampiran Jabatan Zoologi Universiti MS,” kata Pegawai Hutan Banjaran Vadodara, Karansinh Rajput.
Sungai Vishwamitri yang sepanjang 17 kilometer (km) melintasi bandar Vadodara.
Penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai sudah biasa melihat buaya di jalan raya semasa musim tengkujuh. Namun, tahun ini, sejumlah besar reptilia tersebut terpaksa ditangkap dari kawasan perumahan.
Sumber : hmetro