Temasya Olimpik Paris 2024 yang baru sahaja berakhir bukan hanya dibayangi pelbagai kontroversi, tetapi turut mendedahkan sisi buruk netizen dalam mengulas segala aspek penganjurannya, termasuk para atlet yang bertanding.
Atlet negara juga tidak terkecuali dari menjadi sasaran kecaman, yang memperlihatkan bahawa buli siber semakin menjadi ancaman yang serius.
Beberapa atlet negara menjadi mangsa gelombang negatif di media sosial, yang bukan sahaja mengancam kesejahteraan mental mereka, tetapi juga mencabar semangat kesukanan yang sepatutnya dipupuk.
Bagi atlet negara, buli siber mungkin bukan perkara baharu, kerana mereka tidak hanya perlu menghadapi lawan di gelanggang, tetapi juga harus berjuang menentang kritikan dari dunia maya. Buli siber terhadap atlet bukan sahaja mencemarkan semangat kesukanan, tetapi juga memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental dan prestasi mereka.
Sebagai contoh, Datuk Azizul Hasni Awang, yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ dan merupakan ikon sukan berbasikal negara, bukan sahaja gagal mencapai impiannya untuk menghadiahkan pingat emas kepada negara, tetapi juga tersingkir dalam acara keirin. Meskipun Azizul telah menunjukkan usaha dan dedikasi yang tinggi dalam persiapannya, kegagalannya untuk berdiri di podium bersama pingat menjadikan beliau sasaran serangan siber.
Sesetengah netizen menggunakan kesempatan ini untuk meluahkan kekecewaan mereka dengan cara yang tidak wajar, memberikan komen negatif dan menghina prestasi Azizul. Komen-komen sebegini bukan sahaja tidak membantu, tetapi menambah tekanan kepada atlet yang sudah sedia berhadapan dengan cabaran besar di gelanggang.
Hal ini mencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesejahteraan mental atlet, kerana kecaman yang melampau hanya akan mempengaruhi prestasi mereka.
Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, yang berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam temasya yang sama, juga tidak terlepas daripada buli siber. Walaupun telah meraih pencapaian besar, Zii Jia tetap menjadi sasaran komen negatif di media sosial, dengan sebahagian netizen menganggap pencapaiannya tidak cukup baik dan mempersoalkan komitmennya.
Baca juga : Korea Selatan Wajibkan Pengunjung dari Afrika Laporkan Diri Jika Alami Gejala Mpox
Atlet penerjun, Nur Dhabitah Sabri, bukan sahaja berdepan dengan tekanan untuk memberikan aksi terbaik di pentas Olimpik, tetapi juga terpaksa menanggung beban emosi apabila gambarnya disunting dengan niat tidak baik oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tindakan ini jelas menunjukkan kurangnya etika dan tanggungjawab dalam kalangan pengguna media sosial, yang sanggup menyebarkan bahan yang boleh merosakkan imej seseorang tanpa memikirkan kesan buruknya.
Kes seumpama ini mencerminkan realiti yang semakin membimbangkan dalam dunia sukan moden, di mana buli siber semakin tidak terkawal. Kesan psikologi daripada buli siber ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang serius, seperti tekanan, kebimbangan, dan kemurungan. Ini dapat dilihat menerusi luahan atlet terbabit di akaun media sosial mereka. Oleh itu, buli siber tidak boleh dinormalisasikan terhadap atlet.
Dalam hal ini, masyarakat dan netizen perlu lebih bertanggungjawab, tidak menghina peribadi dan prestasi atlet negara dengan bahasa kesat. Setiap kata-kata negatif mempunyai impak negatif kepada atlet.
Oleh itu, pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), perlu mengambil langkah tegas terhadap individu yang terlibat dalam menyebarkan kandungan bersifat fitnah, termasuk menyunting gambar atlet dengan niat jahat. Insiden buli siber terhadap atlet menunjukkan masih banyak yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan dalam masyarakat kita.
Sumber : bharian
Pingback: “Sindiket Pengedaran Dadah Kini Beroperasi di Sebalik Perniagaan Lain” - Malay Star News