PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar permusuhan politik dan perbalahan yang berlebihan mengenai kaum, daerah, atau wilayah dihentikan.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata bahawa semua pihak perlu mencari penyelesaian bagi mengatasi semua halangan demi kesepakatan rakyat.
“Tidak banyak negara yang mencapai kejayaan seperti kita sekarang. Ini bukan hanya urusan Perdana Menteri, Menteri, atau Kerajaan Negeri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua, termasuk pekerja, nelayan, pekebun kecil, dan juga sektor swasta. Dengan kesepakatan ini, kita mencapai pertumbuhan 5.9 peratus yang jauh lebih baik daripada mana-mana negara Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta menteri Kabinet lain serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar menambah bahawa walaupun kadar inflasi Malaysia meningkat kepada dua peratus pada Mei lalu berbanding 1.8 peratus pada April, namun keadaan di Turkiye jauh lebih tinggi.
Baca juga : 19 Pelajar Sesak Nafas Akibat Terhidu Asap Penghalau Tikus
“Saya berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Turkiye dan Menteri Pertahanannya mengenai kos sara hidup. Saya katakan inflasi Malaysia meningkat dua hingga tiga peratus, inflasi makanan empat peratus. Namun saya dimaklumkan bahawa Turkiye mempunyai kadar inflasi 40 peratus, jauh lebih tinggi dari negara kita,” katanya.
Beliau berkata, menerusi PuTERA35, kerajaan menetapkan sasaran baharu dalam aspek penyertaan, pemilikan, dan penguasaan Bumiputera.
Ini termasuk peningkatan penyertaan Bumiputera kepada 70 peratus menjelang 2035 berbanding 61 peratus pada 2022. Pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera disasarkan meningkat kepada 30 peratus daripada 18.4 peratus pada 2020. Penyertaan dan penguasaan Bumiputera melalui ekuiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disasarkan meningkat kepada 20 peratus daripada 18.7 peratus pada 2020.
Kerajaan juga menyasarkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 15 peratus pada 2035 dari 8.1 peratus pada 2022.
PuTERA35 juga menetapkan sasaran lebih tinggi kepada 97 peratus dalam peratusan siswazah Bumiputera dalam pasaran tenaga buruh daripada 85 peratus pada 2022.
Pengukuran dan sasaran baharu Bumiputera di bawah PuTERA35 dibangunkan selaras dengan sasaran di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Sumber : bharian
Pingback: Korea Selatan Wajibkan Pengunjung dari Afrika Laporkan Diri Jika Alami Gejala Mpox - Malay Star News