NEW DELHI: Sejak Jun lalu, sekurang-kurangnya 250 orang di India, 171 di Nepal, dan 178 di Pakistan dilaporkan terkorban akibat ribut dan hujan lebat yang melanda ketika musim monsun di Asia Selatan.
Bencana berkaitan cuaca adalah perkara biasa ketika musim tengkujuh dari Jun hingga September, tetapi kesannya dikatakan lebih dahsyat kali ini akibat perubahan iklim dan pemanasan global.
Di India, hanya beberapa bulan selepas negara itu dilanda gelombang haba paling lama, pakar kaji cuaca kerajaan memberitahu bahawa hujan ribut mencetuskan banjir dan tanah runtuh, yang dijangka berterusan.
Gelombang haba pada Mei dan Jun lalu menyaksikan suhu di New Delhi menyamai rekod tertinggi sebelumnya, iaitu 49.2 darjah Celsius pada 2022. Minggu ini, Jabatan Kaji Cuaca India memberi amaran mengenai hujan lebat di kebanyakan negeri di selatan dan timur laut, sementara puluhan orang dilaporkan terkorban di India pada Ogos lalu. Pada bulan yang sama, seramai 200 orang terkorban di selatan Kerala apabila tanah runtuh melanda kampung dan ladang teh.
Baca juga :Malaysia Menghadapi Kenaikan Empat Kali Ganda Gelombang Haba – Laporan UNICEF
Di Nepal, seramai 171 orang maut sejak hujan monsun bermula pada pertengahan Jun lalu, termasuk 109 orang dalam tragedi tanah runtuh. Kematian lain berpunca daripada banjir dan dipanah kilat, menurut pihak berkuasa bencana. Selain itu, lebih 40 orang dilaporkan hilang serta lebih 200 cedera. Pencarian masih diteruskan di daerah Chitwan di tengah Nepal untuk mencari dua bas yang dihanyutkan ke dalam sungai pada 12 Julai lalu dan mengorbankan kira-kira 50 orang.
Seramai 92 kanak-kanak adalah antara 178 mangsa yang terkorban di seluruh Pakistan pada Julai. Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, amaran risiko banjir glasier dikeluarkan minggu ini.
Pada 2022, bencana banjir membunuh lebih 1,700 orang di Pakistan, menyebabkan 33 juta orang kehilangan tempat tinggal dan ribuan rumah musnah.
Sumber : bharian
Pingback: Ekonomi Malaysia Mencatat Pertumbuhan 5.9 Peratus Pada Suku Kedua - Malay Star News