KUALA LUMPUR: Saham Encorp Bhd merosot dalam dagangan hari ini selepas syarikat tersebut menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Hazurin Harun, bagi memudahkan siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada rehat tengah hari ini, saham Encorp turun sebanyak 0.05 sen atau 1.96 peratus kepada 25 sen.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, pemaju hartanah itu mengumumkan bahawa Hazurin telah digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga pengumuman lanjut dibuat oleh lembaga pengarah.
Encorp menegaskan bahawa syarikat akan meneruskan operasi perniagaannya seperti biasa sepanjang tempoh penggantungan. Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan, Kamarul Azman Kamarozaman@Amir, akan dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab dan mengambil alih tugas serta fungsi CEO buat sementara waktu.
Merujuk kepada kenyataan SPRM mengenai penahanan tiga pegawainya pada 8 Ogos 2024, Encorp menegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang baik dan ketelusan sepanjang proses siasatan.
“Encorp memantau dengan teliti keadaan ini untuk memastikan pematuhan penuh dan menegakkan komitmen teguh kami terhadap integriti,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Baca juga : Penjawat awam kerugian RM99,000 akibat pembelian kereta palsu
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan penahanan tiga individu, termasuk seorang CEO Kumpulan, kerana disyaki menyeleweng dana sebanyak RM1.5 juta milik sebuah syarikat senaraian awam.
Menurut sumber SPRM, kesemua suspek itu ditahan sekitar jam 7 hingga 9 malam pada 8 Ogos ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya berhubung dakwaan penyelewengan yang membabitkan projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam penubuhan sebuah syarikat tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah untuk menjalankan projek kerjasama bernilai kira-kira RM258 juta.
“Selain itu, mereka turut disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kutipan sewaan hartanah milik syarikat berkenaan yang bernilai kira-kira RM3 juta,” katanya.
Encorp dimiliki 67.13 peratus oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh FELDA yang berfungsi sebagai sayap pelaburan agensi yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Syarikat itu fokus kepada pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pembinaan, dan konsesi.
Sumber : bharian