KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM99,000 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kereta dalam kejadian di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia 50 tahun itu melihat iklan penjualan kereta Perodua Alza melalui aplikasi Telegram pada 8 Ogos lalu.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut menghubungi nombor telefon yang tertera dalam aplikasi itu dan berbincang dengan suspek sebelum bersetuju untuk membeli kereta tersebut dengan harga RM26,000.
“Mangsa kemudian membuat pembayaran ke akaun yang diarahkan namun pihak penjual meminta bayaran caj tambahan lain sehingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM99,000. Hasil semakan ke atas kenderaan berkenaan mendapati ia tidak wujud dan mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kelmarin untuk tindakan lanjut,” katanya.
Baca juga : Identiti Mayat Tanpa Kepala Disahkan Sebagai Cikgu Istiqomah
Azli berkata, sebanyak 42 laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dalam tempoh seminggu bermula 4 Ogos lalu. Katanya, ini menunjukkan penurunan sebanyak 15 kes berbanding 57 laporan pada minggu sebelumnya, dengan penurunan sebanyak 26.3 peratus.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM145,900, dan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan menjadi penyumbang utama kes jenayah komersil.
“Pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi selain mengambil langkah proaktif untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
Sumber : bharian
Pingback: CEO Digantung Tugas, Saham Encorp Menurun - Malay Star News