Ramallah: Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan bahawa hampir 500 petugas kesihatan telah terkorban dan ratusan lagi cedera sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula Oktober lalu.
Menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Sabtu menyatakan lebih daripada 310 petugas telah ditahan dan 130 ambulans telah dimusnahkan oleh tentera pendudukan Israel di Gaza.
Kementerian turut memaklumkan bahawa kemudahan kesihatan dan kakitangannya di Tebing Barat telah menghadapi lebih daripada 340 serangan oleh tentera Israel sepanjang tempoh tersebut.
Kementerian menegaskan bahawa serangan sengaja terhadap infrastruktur perubatan oleh tentera Israel telah menghalang akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan penting. Keadaan yang semakin buruk berkaitan air dan sanitasi, ditambah dengan kepadatan penduduk, telah menyebabkan peningkatan penyakit yang boleh dicegah dan kematian pramatang, menurut kenyataan itu.
“Kini, Gaza berdepan bencana kesihatan awam akibat sumber air yang tidak selamat dan kekurangan keperluan asas kebersihan untuk lebih daripada 1.7 juta individu yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka,” katanya.
Baca juga : Saya amat bangga dengan awak, sayang. Awak adalah permata Malaysia.
Kenyataan itu juga menyebut mengenai kekurangan kritikal dalam jumlah petugas kesihatan dan bekalan perubatan, termasuk anestesia dan antibiotik, yang menyebabkan penyedia perkhidmatan kesihatan bergelut untuk menyelamatkan nyawa.
Kementerian itu menggesa agar bantuan kemanusiaan diberikan tanpa syarat untuk menangani kekurangan yang teruk dan membantu dalam pemindahan mangsa yang cedera untuk menerima rawatan perubatan menyelamatkan nyawa di luar negara.
Sumber : hmetro
Pingback: Apple Teruskan Pembangunan Kacamata Pintar dan Versi Mampu Milik Apple Vision - Malay Star News