Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 231 kenderaan mewah dan sebuah kenderaan elektrik (EV) dengan nilai keseluruhan RM27.4 juta termasuk cukai pada bulan Jun lalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail, rampasan kenderaan jenis Toyota Alphard, Mini Cooper, dan Chery Omoda tersebut dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 84 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 25 dan 27 Jun.
Beliau menyatakan bahawa siasatan awal mendapati kontena-kontena berkenaan tiba dari sebuah negara di Asia Timur, dan semua kenderaan, termasuk sebuah EV yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000, adalah untuk pasaran tempatan. Pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua kenderaan tersebut tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Baca juga : Xiaomi Mula Bangunkan Kereta Elektrik Kerana Risau Halangan Dagangan dari Amerika
Dalam sidang media yang diadakan, Norlela turut menyebut dalam kes yang berbeza, pihaknya berjaya merampas 6,500 batang pokok hidup daripada sebuah kontena di pelabuhan yang sama pada 6 Jun, yang dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan bagi tujuan landskap. Kesemua pokok, termasuk jenis bonsai yang dianggarkan bernilai RM325,000, diikrarkan sebagai pokok landskap plastik dan didapati tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Menurut Norlela, ketiga-tiga kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Selain itu, kastam juga berjaya merampas empat juta batang rokok bernilai RM2.992 juta serta 381 kilogram tembakau shisha yang dianggarkan bernilai RM43,832 selepas menahan dua kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 4 dan 15 Jun. Kedua-dua barang rampasan itu diikrarkan sebagai Wood Marquetry and Inlaid Wood serta Loose Goods bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam satu lagi kes, Norlela menyatakan pihaknya merampas 600 biji pil kuda bernilai RM9,000 daripada bungkusan plastik dalam pemeriksaan di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 16 Julai. Pemeriksaan terhadap bungkusan tersebut menemukan tiga paket berisi pil yang dipercayai pil kuda/yaba, disyaki dadah jenis amphetamine, yang disembunyikan di dalam lipatan seluar jean dalam bungkusan plastik berkenaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : astroawani
Pingback: Proton e.MAS 7 Diumumkan Sebagai Nama Rasmi Kenderaan Elektrik Pertama Malaysia - Malay Star News